Anda merupakan penjaja dan peniaga kecil di Negeri Sembilan tetapi baru pertama kali dengar tentang TUNS? Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk memohon pembiayaan TUNS sebelum tarikh tutup permohonan pada 29 Februari 2024 !
TUNS adalah bantuan pembiayaan secara geran berjumlah RM3,000 yang mensasarkan golongan penjaja dan peniaga kecil di Negeri Sembilan. Objektif utama penubuhan TUNS ini adalah melahirkan lebih ramai golongan usahawan pada skala ini berjaya diwujudkan melalui inisiatif ini.
Di samping itu juga diharapkan agar bantuan ini dapat meningkatkan perniagaan sedia ada para usahawan agar melonjak ke satu tahap yang lebih baik dari sebelumnya. TUNS juga secara tidak langsung dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan di samping membantu merangsang pertumbuhan ekonomi. Melalui Belanjawan Negeri Sembilan 2024 yang bertemakan ‘Bersama Membina Negeri Madani’, Kerajaan Negeri Sembilan telah pun bersetuju untuk meneruskan inisiatif TUNS untuk tahun keenam pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.
Jom semak kelayakan permohonan pembiayaan TUNS!
- Warganegara Malaysia;
- Anak Negeri Sembilan atau Pengundi Negeri Sembilan;
- Perniagaan berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 (Akta 777)/ Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012/ Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) dan masih sah tempoh ketika tarikh tutup permohonan dan telah didaftarkan serta beroperasi selama tempoh tiga (3) bulan sebelum permohonan dibuat
- Alamat perniagaan didaftarkan di Negeri Sembilan dan perniagaan beroperasi di Negeri Sembilan;
- Penjaja atau peniaga kecil yang mencatatkan jualan tahunan kurang daripada RM100,000.00;
- Mempunyai akaun perniagaan yang sah dan aktif dalam tempoh tiga (3) bulan;
- Pemohon menjalankan perniagaan secara sepenuh masa;
- Pemohon tidak berstatus muflis; dan
- Tidak pernah menerima TUNS.
Sementara itu, terdapat beberapa jenis perniagaan yang layak untuk memohon. Antaranya,
- Minuman dan makanan;
- Bakeri, pastri dan kuih-muih;
- Khidmat jahitan;
- Pertanian/penternakan/perikanan;
- Salon kecantikan dan gunting rambut;
- Kraf tangan dan cenderamata;
- Peruncitan;
- Fotografi; dan
- Lain-lain perkhidmatan (selain insurans, institusi kewangan dan pembekalan tenaga kerja).
Untuk makluman para peniaga, komponen pembiayaan yang dibenarkan di bawah program ini terbahagi kepada empat (4) komponen utama. Segala permohonan bagi pembiayaan komponen-komponen yang dibenarkan ini haruslah bertujuan untuk menambahbaik kapasiti pengeluaran perniagaan dari keadaan sedia ada. Komponen-komponen tersebut adalah seperti berikut :
1.Pembelian mesin dan peralatan perniagaan;
Melibatkan pembelian mesin atau peralatan perniagaan yang berkaitan dengan jenis perniagaan yang dijalankan oleh pemohon. Sekiranya pemohon mempunyai pelbagai kod bidang perniagaan yang dinyatakan di dalam penyata pendaftaran perniagaan, permohonan yang dikemukakan hendaklah mewakili sektor perniagaan utama pemohon.
2.Pembangunan produk;
Melibatkan kerja-kerja pembangunan produk perniagaan sama ada dibuat secara terus oleh pemohon atau melalui lantikan konsultan bagi tujuan pembangunan jenama (logo dan tagline) dan rekabentuk pembungkusan produk. Ia juga merangkumi kerja-kerja mendapatkan persijilan, ujian makmal untuk mendapatkan fakta nutrisi atau memanjangkan tempoh hayat produk dan yang seangkatan dengannya.
3.Promosi dan pemasaran; dan
Melibatkan apa-apa kerja promosi dan pemasaran untuk memperkenalkan perniagaan atau pun produk. Komponen pembiayaan ini meliputi segala jenis sewaan papan iklan, percetakan alat promosi, pengiklanan di media massa dan media sosial.
4.Pembelian bahan mentah;
Melibatkan pembelian bahan mentah perniagaan utama yang dijalankan. Permohonan di bawah komponen ini adalah berkonsepkan tuntutan semula bagi tahun semasa. Oleh itu, pemohon perlulah mengemukakan resit-resit asal pembelian kepada urus setia untuk tujuan pembuktian.
Usahawan mikro yang berkelayakan dan memenuhi segala syarat kelayakan di atas digalakkan untuk membuat permohonan segera.Pemohon turut dinasihatkan untuk melengkapkan permohonan sebagaimana disyaratkan untuk mengelak permohonan tersebut ditolak diperingkat saringan awal.
Kaedah permohonan TUNS adalah sepenuhnya secara atas talian (online) . Di mana ia bertujuan bagi memudahkan memudahkan lagi proses permohonan, proses semakan dan pemantauan status permohonan oleh para pemohon tanpa perlu hadir ke pejabat Urus Setia TUNS.
Permohonan boleh dibuat melalui pautan berikut : PERMOHONAN TUNS 2024